Surat untuk ayah pulak yea!

Pagi itu sungguh sejuk. Tiupan angin yang masuk melalui celahan jendela terasa dingin memenuhi ruang kamar yang agak luas. Selimut yang terdampar di pinggir kaki ditarik hingga ke paras dada. Terasa selesa namun belum cukup untuk membuatkan mata terlena kembali. Dengan malas dia membuka mata perlahan-lahan. Suasana agak sunyi tanpa isteri di sisi. Dia memicit kepalanya berulang kali. Tidur yang agak lena malam tadi tidak dapat mengatasi keletihan fikirannya. Dia terus termenung di katil. Bantal yang biasanya ditiduri oleh isteri yang tercinta, kosong. Sekosong perasaannya pada waktu ini. Pandangannya menerawang ke seluruh bilik. Tersentak seketika, matanya terpaku pada sepucuk surat di atas meja solek.


Walaupun langkahnya agak berlenggang, hatinya diterpa pelbagai persoalan. Surat apakah ini? Sampul surat berwarna biru muda itu jelas ditujukan buatnya ; Kepada Ayah. Dia melabuhkan badannya di atas katil, mencari keselesaan dan mula membuka surat itu. Tulisan tangan yang terpampang pada surat tersebut memang jelas dikenali.
Dia memulakan pembacaannya. “Ayah, hari ini hari minggu. Biasanya ibu akan membawa saya berjogging dan kemudian ke taman permainan dan kadangkala ke perpustakaan awam. Tapi ibu tiada dan ayah sudah berjanji pada ibu untuk membawa saya pergi ke taman pagi ini. Kesibukan ayah setiap hari membuatkan saya ternanti-nantikan hari ini untuk bersama ayah dan menghabiskan masa dengan ayah. Namun ayah masih belum bangun lagi. Minggu lepas pun, ayah tak menemani saya ke taman walaupun ayah sudah berjanji. Malah, cuti sekolah yang lepas pun ayah tidak memenuhi janji ayah untuk membawa saya pulang ke kampung. Mungkin ayah tidak kisah dengan janji-janji itu namun, saya kisah kerana ayah selalu memungkiri janji. Ayah, janganlah membuat janji palsu lagi. Ingat ayah, saya merasa amat kecewa jika janji dimungkiri.” “Ayah juga selalu mengingatkan pada saya supaya meminta maaf jika saya telah melakukan kesilapan pada sesiapa jua. Tapi, kenapa ayah tidak meminta maaf dengan saya kerana memungkiri janji?”. Ayah, jangan sangka ayah akan hilang martabat dengan meminta maaf daripada saya. Jika ayah mengaku dan meminta maaf secara jujur di atas kesilapan yang ayah buat, kemesraan antara kita pasti akan bertambah.”
Dia termenung. Surat itu masih dipegangnya. Dia sedar, dia terlalu sibuk bekerja sehingga melupakan kasih sayang yang sepatutnya dimiliki oleh anaknya. Matanya menerawang ke segenap ruang kamar. Pengap dan kelam mengaburi mata. Namun dia masih ingin membaca surat itu. “Ayah, semalam ayah telah membuang sampah di tepi longkang semasa kita makan di luar. Saya masih ingat ayah ajar tentang kebersihan di rumah. Ayah suruh saya buang sampah di dalam bakul sampah yang terdapat di dapur dan setiap bilik. Ayah kata kebersihan amat penting dan ayah tak suka kepada orang yang kotor. Malah ayah juga pernah menjentik tangan saya kerana membuang sampah di bawah pokok bunga di halaman rumah kita. Ayah, jangan berpendirian tidak tetap, ia akan mengelirukan saya dan akhirnya saya akan hilang kepercayaan terhadap ayah! Dia memejamkan mata. Memang benar, dia selalu menasihati anaknya tentang kebersihan. Tidak kiralah di mana-mana pun, dia selalu mengingatkan anaknya tentang kebersihan. Namun, semalam dia terlupa dan melempar bungkusan makanan di tepi longkang.
Dia begitu letih semalam. Letih kerana seharian bekerja dan terpaksa mengambil alih tugas isterinya mengambil anak di sekolah dan membawanya makan di luar. Betapa malunya dia kerana anaknya lebih prihatin dengan apa yang berlaku semalam. Dia memejamkan mata seketika dan meneruskan bacaannya. “Ayah, jangan manjakan saya, saya sebenarnya tahu saya tidak perlu mendapat semua yang saya inginkan, saya hanya menguji ayah! Semalam saya sengaja mengada-ngada inginkan itu ini. Saya tahu ayah agak keberatan untuk membelikan kereta mainan yang saya inginkan itu. Tapi ayah tetap membelikannya untuk saya sedangkan di rumah ini, mainan saya sudah terlalu banyak. Ayah, jangan takut untuk bertegas dengan saya. Saya lebih suka begitu. Sikap tegas ayah akan menjadikan saya lebih selamat dan lebih pandai berfikir di masa akan datang.” Dia masih ingat lagi semalam. Selepas makan di restoran makanan segera, mereka lalu di sebuah kedai permainan. Dia memang tahu barang permainan anaknya memang banyak dan terlalu banyak. Namun, dia malas nak mendengar anaknya membebel dan menangis jika mainan tersebut tidak dibelikan. Itulah yang berlaku jika isterinya menolak permintaan anak mereka setiap kali mereka keluar bersama. Dia juga selalu menegur sikap isterinya yang terlalu tegas dan selalu menasihati anak mereka dengan panjang lebar tentang sesuatu perkara sedangkan, kadangkala perkara tersebut terlalu remeh untuk diperkatakan. Memang benar apa yang dilakukan oleh isterinya. Anak-anak harus dinasihati selalu agar mereka lebih pandai berfikir dan sikap tegas ibu bapalah yang mendidik anak-anak menjadi manusia yang cemerlang. Dia menarik nafas panjang dan menatap bait-bait ayat terakhir dalam surat tersebut. “Ayah, semasa saya menulis surat ini, jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi. Saya masih teringat kata-kata ayah sebelum ayah masuk ke bilik malam tadi. Ayah minta saya mengaku perkara yang tidak saya lakukan. Memang benar ayah, bukan saya yang tumpahkan susu di dapur dan bukan saya yang menyepahkan surat khabar di ruang tamu. Saya tahu ayah penat kerana terpaksa mengambil saya balik dari sekolah, membawa saya makan malam di luar dan menyeterika pakaian setiap malam. Tapi itu semua ayah lakukan hanya untuk seminggu sahaja. Sedangkan ibu, tak pernah merungut-rungut walaupun seharian penat di pejabat dan dengan wajah yang manis ibu tetap mengemas rumah, memasak serta menyeterika pakaian kita sekeluarga. Setiap hari!” “Ayah selalu meninggalkan ruang tamu bersepah setelah membaca surat khabar. Ayah juga kerapkali meninggalkan mug di atas meja sehingga kadangkala mug itu bersemut. Tapi ibu tak pernah menuduh ayah kerana dia tak nampak ayah yang lakukan. Susu yang tumpah di dapur itu ayah yang tumpahkan. Pagi semalam ayah bangun lewat dan kelam kabut. Semasa ayah buka peti ais, ayah tersinggung kotak susu tu. Macam mana ayah boleh kata saya yang buat? Sebenarnya dah banyak kali ayah bertanya pada saya tentang sesuatu perkara yang bukan disebabkan oleh saya. Walaupun saya tidak melakukannya, ayah seolah-olah tidak percaya. Ayah, janganlah terlalu menguji kejujuran saya. Perbuatan ayah itu membuatkan saya takut dan akhirnya saya akan sanggup berbohong.” “Ayah, saya harap ayah tidak tersinggung dengan apa yang saya tuliskan dalam surat ini. Saya sayangkan ayah sebagaimana saya sayangkan ibu. Memang benar syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Namun, saya perlukan tangan ayah untuk memimpin saya ke syurga tersebut.” Dia melipat semula surat itu dengan perlahan dan perasaan yang berat. Kelalaian, kelemahan dan kepincangan yang dilakukannya benar-benar menginsafkannya. Dia benar-benar lupa bahawa anak itu adalah amanah dari Allah s.w.t yang harus di pelihara bukan diabaikan. Selama ini tugas menjaga dan mendidik anak diserahkan bulat-bulat kepada isteri tanpa mengambil kira kepenatan dan kejerihan isteri bertungkus lumus bekerja dan mendidik anak. Baru seminggu isterinya berkursus di luar negeri, pelbagai-bagai peristiwa telah berlaku. Rumah bersepah, anak terbiar dan dirinya sendiri tidak terurus. Dia terlalu leka. Dia juga menganggap bahawa menjaga seorang anak bukanlah sesukar mana. Namun, apa yang berlaku hari ini benar-benar menyentak naluri kebapaannya dan dari detik ini hatinya mula di tumbuhi dengan keazaman untuk memelihara keperibadiannya demi memimpin keluarganya . Pintu kamar diselak. Wajah manis anak menyejukkan nalurinya. Si anak menghulur tangan. Dia menyambut tangan anaknya dengan hati yang terbuka luas. Fikirannya rancak menyenaraikan aktiviti yang akan dilakukan hari ini dan seterusnya. Hari ini dia belajar erti ‘kebapaan’ dari anak yang berusia 10 tahun. 
Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 28 bermaksud: 
"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu adalah menjadi ujian dalam kehidupan kamu, sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar"

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Surat Dari Anak Mak Yang Dah Tak Nakal

Mak...
Terlalu bosan rasanya duduk membilang hari...
Dah hampir sepuluh bulan mak pergi
Rasanya baru semalam mak peluk kiter kan sejuk syahdu masih terasa lagi nih...
Mak tau tak...
itu lah pertama kali mak peluk anak mak yang nakal ni sejak kiter dewasa...
dan itu juga terakhir kalinya
Emmmm...rupanya mak dah tau mak nak pergi jauh...
nak tinggal kan anak-anak mak... nak tinggal kan dunia fana ni...
Mak macam dah sedia...
Seminggu sebelum tu...
Mak dah menganyam tikar mengkuang 3 helai...
Akak kata sampai ke pagi mak anyam tikar tuu...
Tanpa rasa mengantuk, tanpa rasa letih...
Kakak pun rasa hairan...
Mak tak penah buat gitu...
Pastu mak pasang radio kecil di sebelah mak...
Tapi mak seolah-olah tak sedar bahawa rancangan radio tu siaran siam ...
Kengkadang siaran indonesia ...
Mak terus tekun menganyam...
Rupanya tikar yang telah mak siapkan tu di gunakan untuk mengiringi mak ke kuburan...
Pastu mak sapu sampah sekeliling rumah bersih-bersih...
Pastu mak jemur karpet-karpet. ..
Pastu mak ubahkan sofa ke tempat lain..
Mak biarkan ruang tu kosong..
Rupanya kat situ jenazah mak diletakkan...
Paling menarik sekali mak bagitau kat maner sume duit dan barang kemas mak..
Ada kat dalam almari...
Ada kat dalam dalam beg...
Ada dalam ASB...
Ada kat dalam Tabung Haji..
Mak cakap tak berapa cukup lagi...
Ada kat dalam gulung tikar...
Masa tu mak perasan takk..??
Kiter gelak sakan bila mak bagitau duit dalam gulung tikar...
Kiter kata mak ni memang pesenn lama laaa...
Mak cuma gelak jer...
Eeemmm..bahagiaa nya saat ituu...

Mak... Hari tu hari sabtu 18 Ogos 1999 pukul 3 petang mak tiba-tiba sakit perut...
Bila malam tu kiter sampai dari KL...
Mak dah dalam kesakitan.
Akak dan abang kat kampong semua dah pujuk...
Mak tetap takmau pi hospital...
Dan cuma tinggal giliran kiter sahaja yang belum pujuk..
Mak kata mak takmau duduk dalam hospital...
Tapi kiter berkeras juga pujuk..
Nanti di hospital ada doktor...
Ada ubat untuk mak..
Kat rumah kami hanya mampu sapu minyak dan urut jer...
Mak tetap tak bersetuju...
Mak memang degil..
Tak salah, anak mak yang ni pon mengikut perangai mak tu..
Tapi akhirnya bila melihat keadaan mak makin teruk...
Mak sakit perut sampai nak sentuh perut mak pon sakit
Kami adik beradik sepakat hantar juga mak ke hospital...
Mak...
Ampunkan kami semua...
Kami nak mak sehat...
Kami sayang mak...
Kami tak mau mak sakit...
Kami terpaksa juga hantar mak ke hospital...
Ampunkan kami yer mak...
Mak... Malam itu abang bawa mak ke hospital
Dan itu lah pertama dan terakhir kali mak naik kereta kiter...
Masih terbayang betapa ceria dan gembiranya mak
Kiter kata nak beli kereta...
Mak asyik tanya ajer..
Cukup ker duit..
Kiter jawab pula...
Kalau tak cukup, mak kan banyak duit...
Mak gelak ajerr...
Lepas tu bila kereta kiter sampai...
Mak buat kenduri kesyukuran...
Dan kiter masih ingat lagi...
Bila kiter eksiden terlanggar Ah-Chong naik motor...
Punya la kiter takut...
Kiter warning kakak kiter jangan sesekali bgtau kat mak...
Bila balik sahaja kampong...
Kiter cepat-cepat simpan keta dalam garaj...
Tapi mak perasan juga bumper depan kemek...
Mak tanya kenapa...?
Selamba jerr kiter jawab terlangar pokok bunga...
Mak...
Tujuan kiter menipu tu supaya mak tak risau...
Maafkan kiter kerana sampai mak pergi mak tak tau hal sebenar...
Mak, kiter menipu mak kan ...
Ampon kan kiter...
Mak...
Jam 4.30 pa gi 19 Ogos 2006
Bila tiba aja kat hospital...
Nurse tengah balut mak dengan kain putih...
Mak mesti nampak kiter jatuh terduduk di lantai hospital...
Mesti mak nampak abang cium dahi mak...
Mesti mak nampak akak baca doa untuk mak...
Mesti mak nampak adik terduduk kat kerusi kat sudut itu...
Mesti mak nampak semua tu kann... kann... kannn...
Mak tau tak...
Pagi tu balik dari hospital jam 5.20 pagi kiter mamandu dalam keadaan separuh sedar...
Adik kat sebelah diam melayan perasann...
Kenangan bersama mak berputar dalam kepala ini...
Jalan di depan terasa makin kelam...
Airmata dah tak mampu di tahan...
Masa tu seandainya apa-apa terjadi di jalan itu kiter rela...
Namun alhamdulillah akhirnya kiter sampai juga...
Di sebab kan pagi masih awal, jadi jalan tu lenggang..
Kosong...sekosong hati ini...
Sepanjang perjalanan terasa kedinginan subuh itu lain benar suasananya...
Terasa syahdu dan sayu...dinginnnn...
Mak...
Kiter masih ingat lagi...
Kiter baca AlQuran kat tepi mak temankan mak...
Jam 11.00 pagi mak di mandi kan ...
Anak2 mak yang pangku masa mak mandi...
Mak mesti rasa betapa lembut nya kami mengosok seluruh tubuh mak...
Kiter gosok kaki mak perlahan lahan...
Mak perasan tak...?
Makcik yang mandikan mak tu pujuk kiter...
Dia kata... "dikk...jangan nangis... kalau sayang mak jangan buat gitu... jangan nangis ya.."
Bila makcik tu kata gitu...
Lagi laaaa... laju airmata ni..
Tapi kiter kawal supaya tak menitik atas mak...
Mak...
Sampai takat ini surat ni kiter tulis...
kiter nangis ni...
Ni kat dlm bilik...baru pukul 4.00 pagi...
Takder orang yang bangun lagi...
Kiter dengar nasyid tajuk "anak soleh" kiter sedih...
Kiter rindu kat mak..!
Takpa la...
Nanti bila kita selesai sembanyang subuh,
Kiter baca yassin untuk mak...
Mak tunggu ya..!
Mak..
Sebelum muka mak di tutup buat selamanya...
Semua anak-anak mak mengelilingi mak...
Menatap wajah mak buat kali terakhir...
Semua orang kata mak seolah-olah senyum aja...
Mak rasa tak...
Masa tu kiter sentuh dahi mak...
Kiter rasa sejukkkk sangat dahi makk...
Kiter tak mampu nak cium mak...
Kiter tak daya...
Kiter tuliskan kalimah tauhid kat dahi mak dengan air mawar...
Airmata kiter tak boleh tahan...
Mak mesti ingat kan yang anak mak ni jadi imam solat jenazah untuk mak...
Tapi kite suruh tok imam bacakan doa sebab kite sebak...
Jam 12 tengahari mak diusung keluar dari rumah...
Akak pula dah terkulai dlm pelukan makcik...
Badan akak terasa panas...
Makk...
Anak mak yang seorang tu demam...
Mak tauu...
Cuma akak sorang saja anak mak yang tak mengiringi mak ke tanah perkuburan.. .
Mak... Hari-hari ku lalui tanpa kewujudan mak lagi...
Begitu terasa kehilangan mak...
Boleh kata setiap malam selepas maghrib anak mak ini berendam airmata...
Dan sampai satu tahap...
Masa tu malam jumaat selepas maghrib...
Selepas kiter baca yassin ngan kawan-kawan...
Entah kenapa biler kat bilik kiter keluarkan gambar-gambar mak pastu apa lagi...
Semakin kiter tenung terasa semakin sayu...
Tangisan tak dapat dibendung...
Mak tauu...
Kiter cuba bertahan...
Memujuk diri sendiri tapi tak juga reda...
Kiter rasa nak telefon mak...
Nak cakap dengan mak...
Anak mak yang ni dah tak betul kan ...????
Dan akhirnya dalam sedu sedan itu kiter telefon kampong...
Kiter cakap dengan kakak..kiter nangis lagi...
Puas la kakak memujuk kiter...
Akak kata... "tak baik laa nangis aje.. doa lah untuk mak.."
Dan akhirnya akak juga nangis...
Mak tau tak..
Di saat itu kerinduan terasa menusuk sehingga ke hulu hati...
Rasa nyilu sangat...
Menusuk-nusuk sehingga terasa begitu sakit dalam dada ni...
Sampai sekarang bila kerinduan itu menjelma...
Hanya sedekah al-fatihah kiter berikan...
Mak...
Cukup la sampai sini dulu...
Kawan kiter dah ketuk pintu bilik tu...
Kejap lagi kami nak pergi solat subuh kat masjid...
Selalunya, kiter yang bawak mak naik motor kan ...
Kali ni kiter jalan kaki dengan kawan pulak...
Esok kiter ingat nak tulis surat kat ayah pula...
Mula-mula kiter tak tau nak hantar mana surat nih...
Pastu kawan kiter bgtau...
Simpan je buat kenangan..
Kiter cuma tau alamat ni aje...
Takper yer mak...k
Kiter kasi orang lain baca...
Kiter stop dulu...
sebab kawan kiter dah lama tunggu tu...
akhir kata untuk mak
I LOVE YOU SO MUCH
Dan jutaan terima kasih kerana membesarkan kiter...
Memberi seluruh kasih sayang dari kecil sampai masuk sekolah..
Sampai masuk universiti..
Sampai kiter boleh rase naik kapal terbang...
Boleh rasa duduk kat negara orang... sampai akhir hayat ini jasa mak tak akan mampu kiter balas..

Sekian terima kasih,
Yang Benar,
Anak mak yang dah tak degil

source: iluvislam.com

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Green Polka Dotted Pencil