Mahasiswa IPTA vs Guru Pelatih IPGM


Gerakan Mahasiswa kini nampaknya semakin berbisa. Mereka sudah sampai ke tahap menjadi de facto dalam dasar- dasar negara. Sememangnya inilah peranan mahasiswa. Mereka lantang bersuara mebidasa dan menjadi check and balance pada kerajaan dalam segenap isu. Mereka membuktikan kekuatan mereka dengan ilmu yang mereka miliki demi memastikan masa hadapan terus cerah dan tidak terancam di tanah air sendiri.

Sirna baharu mereka ini dilihat sebagai sesuatu yang positif oleh masyarakat. Mahasiswa tidak lagi lesu sebagai pembela masyarakat. Kalau dahulu ya masyarakat kita buta huruf, buta teknologi tak tahu apa- apapun tentang erti kemajuan. Maka tanah terjual, kampung tergadai. Tatkala itu terjadi hanya dua tiga orang sahaja anak kampung menjadi mahasiswa maka mereka bersuara. Kini kian ramai anak kampung bergelar mahasiswa. Malahan mereka juga punya bekalan fikrah dan kerohanian yang tinggi.

Jauh nun di ibu kota, di Universiti Malaya mahupun di Universiti Kebangsaan Malaysia, mahasiswa kita berdepan dengan satu ranjau penuh berani. Memperjuangkan hak mereka, hak masyarakat, hak agama dan generasi masa hadapan. Mereka membantah isu PPSMI, berani membuat keputusan yang drastik yang kerajaan anggap benar, tapi hakikatnya memakan bangsa. Mereka juga sudah terkehadapan dengan penyerahan memorandum dan membawa suara masyarakat jauh lebih penting dari peranan ahli parlimen.

Kerajaan pula janganlah hanya memainkan retorik sahaja menyatakan bahawa mahasiswa adalah modal penting negara. Peranan mereka ditagih untuk membangunkan negara mancapai tahap dan status negara maju. Dengarlah dan ambil perhatian pada suara mahasiswa ini. Dalam segenap hal, mahasiswa lebih memahami dan arif berbanding ahli parlimen. Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara yang bakal berlangsung Julai ini adalah hasil inisiatif Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) harus menjadi perhatian dan medan kerajaan mengkaji keberkesanan sistem pendidikan nasional ketika ini.

Mahasiswa IPTA sudah jauh ke hadapan. Kemalapan pula menghantui mahasiswa bergelar guru pelatih di 28 buah IPGM seluruh negara. Mahasiswa IPGM dikatakan tidak bersuara. Persoalannya, adakah kami tidak bersuara atau kami dikunci mulut? Inilah yang harus diketahui pihak di luar sana sebelum menyatakan apa- apa berkenaan kemalapan mahasiswa IPGM. Mahasiswa IPGM inilah yang akan berada di barisan hadapan kelak mendidik anak bangsa kita menjadi insan berguna dan terpelajar. Tetapi kami juga yang dirundung kemalapan kini.

Guru pelatih kini dalam situasi terkongkong. Terus ditekan dan tiada punya kebebasan segah mahasiswa IPTA. Mahasiswa IPTA hebah dengan mengusung keranda Akta 152, membanjiri jalanan mendesak kerajaan menghapuskan PPSMI tetapi guru pelatih hanya diam membisu? Kenapa? Bukankah mahasiswa IPGM ini adalah guru. Mereka sepatutnya mempertahankan bahasa kebangsaan.

Keruntuhan akhlak dan hedonisme yang kian merebak dalam kalangan belia negara juga menjadi perhatian mahasiswa IPTA. Tetapi kenapa guru pelatih masih berdiam diri? Tiada sebarang kenyataan atau bantahan sehebat mahasiswa IPTA. Mahasiswa IPTA sanggup ke parlimen menyerahkan memorandum, pergi ke Kompleks Perdana di Putrajaya menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri. Apa bezanya Universiti Malaya dan IPGM Kampus Bahasa Melayu juga Kampus Bahasa-Bahasa Antarabangsa yang hanya bersebelahan?

Sedarilah bahawa kita adalah barisan paling hadapan. Kita yang mengerakkan dan berada dalam dasar ini kelak. Andai PPSMI terus gagal, kita adalah yang mengagalkannya. Andai bahasa kebangsaan dianak tirikan di negara sendiri, kita lah yang gagal membangkitkan dan menjadikannya sebagai bahasa citra bangsa kita. 

Bersyukurlah wahai pewaris generasi guru sekalian. PPSMI bukan isu lagi. Tapi bukan atas usaha dan daya anda sebagai guru pelatih dan dan guru. Tetapi atas usaha daya mahasiswa IPTA di luar sana. Sampai bilakah pewaris generasi guru ini akan malap? Tidak bangun dan bangkit segah mahasiswa di luar sana. Sampai bila-bila kah? atau sampai rosaknya bangsa dan agama? Fikir dan renung-renungkan. Andalah bakal penentu generasi akan datang. Jika bukan anda yang bangkit, siapa lagi? Jangan hanya menjadi pemerhati tanpa tindakan. Bangunlah wahai guru pelatih sekalian!



Guru pelatih;


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 26 menulis:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Green Polka Dotted Pencil